Wednesday, 4 April 2012
Pemuda Pemudi Harapan. Ini Seruanku!
Saya mencoretkan artikel ini dengan penuh rasa kasih dan cinta kepada Pemuda Pemudi yang wujud di atas muka bumi Allah ini
Tidaklah saya lakar artikel ini sebagai satu perkara untuk di tiup angin. Tetapi mengharapkan agar isi artikel ini di cuit ke dalam hati Pemuda Pemudi.
Kerana sesungguhnya saya melihat Pemuda dan Pemudi adalah harapan masa hadapan. Bukanlah sekelompok golongan tidak bermakna. Tetapi pencorak masa hadapan masyarakat kita. Tidaklah saya memandang Pemuda Pemudi sebagai muda hijau tiada isinya. Tetapi pada saya, kalian adalah permata yang berharga, saham buat dunia.
Maka saya lakarkan artikel ini, untuk sama-sama kita melihatnya.
Umur mudamu, ke mana engkau habiskan?
Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: “Gunakanlah lima sebelum tibanya lima iaitu gunakan masa mudamu sebelum masa tuamu, masa sihatmu sebelum masa sakitmu, masa kayamu sebelum masa miskinmu, masa lapangmu sebelum masa sibukmu dan masa hidupmu sebelum masa matimu.” Hadith Riwayat Al-Hakim & Al-Baihaqi.
Maka Pemuda Pemudi yang saya kasihi, ke manakah sedang kita gunakan masa muda kita ini?
Apakah ke arah sesuatu yang membina masa hadapan kita, masa hadapan keluarga kita, masa hadapan agama kita, dan masa hadapan negara kita?
Atau ke arah yang merosakkan semua itu?
Adakah pernah kita mendengar firman Allah SWT berkenaan waktu?
“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” Surah Al-‘Asr ayat 1-3.
Maka pernahkah kita melihat wahai Pemuda Pemudi, apakah kita sedang berada di pihak yang rugi? Atau sedang untung dengan keimanan, amalan soleh dan berpesan-pesan ke arah kebenaran serta kesabaran?
Di manakah kita sekarang ini Pemuda dan Pemudi?
Kita Tidak Akan Sentiasa Muda.
Sedarilah bahawa masa muda ini akan berlalu. Akan pergi meninggalkan kita. Perginya pula tidak akan kembali. Tidaklah waktu akan merasa kasihan dengan penyesalan kita di hari tua, lantas berputar kembali memberikan peluang kepada kita. Tidak dan tidak.
Maka janganlah kita bazirkan peluang keemasan ini. Usia kita ini. Jangan kita sibukkan diri dengan percintaan yang sia-sia. Jangan pula kita habiskan dengan berfacebook perkara tidak bermakna. Jangan pula kita luangkan masa ke arah apa yang tidak bermanfaat kepada kita. Jangan sesekali melemparkan diri kepada kerosakan dengan rokok, ganja, rempit, dan apa-apa sahaja keburukan di sisi Allah SWT kita.
Tidakkah kita membaca firmanNya:
“Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan; dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” Surah Al-Baqarah ayat 195.
Maka ke manakah masa muda ini kita belanjakan? Jangan sesekali kita lemparkannya ke arah kerosakan.
Kita Adalah Mereka Di Masa Hadapan.
Perdana Menteri kita hari ini akan mati. Ulama’ kita hari ini akan mati. Begitulah juga pemimpin-pemimpin yang lainnya. Masa akan bergerak, waktu akan berlalu, dan sampailah hari kita. Kalaulah kita tidak menjadi pemimpin pun, adalah pasti kita akan menjadi rakyat kepada seseorang. Apakah kita ingin menjadi rakyat yang merosakkan? Dan jika kita menjadi pemimpin, apakah kita ingin menjadi pemimpin yang korup?
Kerana itu wahai Pemuda Pemudi, perubahan masa hadapan di tangan kita sebenarnya. Inilah dia kuasa yang diberikan Tuhan kepada kita. Maka mengapa kita bazirkan potensi ini dengan sibuk bercinta, berfacebook yang sia-sia, melakukan aktiviti yang tidak pula membawa manfaat kepada diri kita dan sesiapa!
Mengapa tidak kala usia masih hijau ini, kita mula mengisi diri dan hati kita. Kita mula membina peribadi kita. Kita mula merangka wawasan kita. Hingga nanti kalau sekadar menjadi rakyat marhein(biasa), maka kita akan menjadi rakyat yang baik buat negaranya, buat pemimpinnya. Kita akan menjadi rakyat yang kuat, yang gagah, yang intelek, untuk ummatnya. Apatah lagi bila kita menjadi pemimpin, kitalah yang akan melakukan anjakan paradigma, ke arah sesuatu yang lebih baik dan bagus buat semua.
Lebih penting, kitalah yang akan menggantikan Ibu Ayah hari ini, menjadi ketua keluarga kepada keluarga yang kita bina sendiri nanti. Apakah kita mahu menjadi ibu bapa yang tempang agama, yang tidak mampu membawa anak-anaknya ke syurga?
Maka mengapa tidak kita sibukkan diri di kala muda ini. Membina minda, membina hati, membina jiwa, membina peribadi. Tidakkah kita mahu memecahkan cycle keburukan di dunia ini, dan menerbitkan satu putaran kebaikan untuk generasi nanti?
Atau kita memilih untuk menjadi budak sistem, dan terus diperbudakkan hingga kiamat nanti?
Penutup: Engkau Terlalu Berharga Untuk Diperbudakkan. Bangkit!
Kita terlalu berharga untuk diperbudakkan sesiapa. Kita hanya layak menjadi ‘budak’ kepada Allah SWT semata-mata.
Maka bangkitlah wahai Pemuda Pemudi. Engkau suka apa? Suka menulis? Asah bakatmu itu biar boleh menyumbang untuk Agama dan perubahan negara. Engkau suka apa? Suka melukis? Asah bakatmu itu biar boleh menyumbang untuk Agama dan perubahan dunia. Engkau suka apa? Menyanyi? Suka bercakap? Suka membaca? Suka multimedia? Suka games? Maka asah bakatmu itu setajam mungkin, biar menjadi senjata-senjata agama yang menumbangkan kerosakan di atas dunia. Yang membawa perubahan, memimpin sekalian isi dunia ke syurgaNya.
Jangan biarkan diri kita terperangkap di dalam cycle rekaan sistem ini.
Jangan menjadi budak.
Kita punya kuasa sehebat tsunami.
Maka mengapa dibazirkan begitu sahaja disembelih sistem hari ini?
Lepaskan dirimu. Bina jiwa, bina minda, bina peribadi. Lahirkan identitimu yang berdasarkan perlembagaan Ilahi.
Kemudian bangkit, menjadi orang-orang tua yang lebih baik dari mereka hari ini.
Ayuh Pemuda Pemudi,
ini seruanku.
Walau berapa pun muda umurmu,ingat lah hari tua mu akan tetap menjelma
dengan lafaz bismillah sahut seruan ini, dan bergeraklah bermula kini!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment