Powered By Blogger

Thursday 12 April 2012

Kisah Dua Pemuda Perang Badar


Tahukah anda, terdapat kisah yang menarik mengenai dua orang PEMUDA ansar yang menyertai peperangan Badar. Mereka adalah Muaz bin Afra' dan Auf bin Afra'. Peperangan Badar di mulai dengan perlawanan satu lawan satu di antara tentera Islam dan bukan Islam. Apabila Utbah bin Rabi'ah (seorang panglima@pembesar bukan islam) mencabar untuk beradu tenaga, mereka berdua turut keluar bersama Abdullah bin Rawahah. Ketika di dalam peperangan , Abdul Rahman bin Auf berada bersama dengan kedua pemuda ansar tersebut. Di dalam hatinya (Abdul Rahman), beliau mengharapkan orang yang berada di kiri dan kanan beliau adalah orang yang lebih dewasa dan lebih berpengalaman dalam peperangan.

Namun, sesuatu perkara telah berlaku justeru mengubah fikiran beliau. Salah seorang daripada pemuda ansar tersebut datang membisikkan sesuatu kepada Abdul Rahman supaya tidak didengari oleh pemuda yang kedua. Katanya " Wahai Pakcik, adakah Pakcik kenal Abu Jahal? Aku dengar dia adalah orang yang paling banyak menyakiti Muhammad. Tunjukkan dia kepadaku. Aku ingin membunuhnya." Begitulah kemarahan pemuda tersebut kepada orang yang telah banyak menyakiti Rasulullah yang dikasihinya. Abdul Rahman bin Auf terkejut dengan pertanyaan tersebut dan beliau berjanji untuk menunjukkan Abu Jahal kepadanya. Selepas itu, pemuda kedua juga menanyakan perkara yang sama kepada Abdul Rahman bin Auf. Pada ketika itu, Abdul Rahman bin Auf berasa lebih tenang berada di tengah-tengah pemuda tersebut.

Abu Jahal di kawal ketat oleh orang-orangnya. Abdul Rahman menunaikan janjinya dengan menunjukkan kepada dua remaja tersebut yang mana satu Abu Jahal. Belum sempat Abdul Rahman menghabiskan percakapannya, kedua-duanya sudah melompat menuju ke tempat Abu Jahal. Mereka merempuh barisan tentera bukan Islam sambil menebas kiri dan kanan dengan pedang mereka. Akhirnya, mereka berjaya sampai kepada Abu Jahal dan memukul Abu Jahal dengan pedang mereka sehingga Abu Jahal jatuh.

Semua orang tidak menyangkakan tindakan kedua pemuda tersebut. Abu Jahal telah cedera parah namun masih lagi bernyawa. Auf bin Afra', iaitu salah seorang pemuda tersebut berada di tengah-tengah tentera bukan Islam dan telah di bunuh oleh Ikrimah iaitu anak Abu Jahal yang berada berhampiran dengan ayahnya. Manakala, Muaz bin Afra' (pemuda lagi satu) sempat berundur tetapi malangnya, tangan beliau terpotong dan masih tergantung di badan. Beliau membalut tangannya itu dan terus berperang. Namun, tangannya itu menganggu pergerakannya. Lantas, beliau memijak tangannya itu dengan kaki dan memutuskannya agar beliau lebih mudah bergerak. Dia terus berperang dan akhirnya syahid dalam peperangan Badar.

Begitutlah hebatnya iman pemuda-pemuda tersebut. Walaupun masih belasan tahun, namun telah memainkan peranan yang begitu penting di dalam peperangan dalam menegakkan Islam.

Berapakah umur saya sekarang? Apakah sumbangan saya pada agama?

Jika pemuda ansar tersebut begitu nekad menegakkan Islam, apakah pula yang dilakukan oleh pemuda zaman sekarang?

Masih lagi ingin berfoya-foya dan bersenang lenang?

Berjuang la ke jalan islam agama Allah s.w.t

Wednesday 4 April 2012

Pemuda Pemudi Harapan. Ini Seruanku!


Saya mencoretkan artikel ini dengan penuh rasa kasih dan cinta kepada Pemuda Pemudi yang wujud di atas muka bumi Allah ini

Tidaklah saya lakar artikel ini sebagai satu perkara untuk di tiup angin. Tetapi mengharapkan agar isi artikel ini di cuit ke dalam hati Pemuda Pemudi.

Kerana sesungguhnya saya melihat Pemuda dan Pemudi adalah harapan masa hadapan. Bukanlah sekelompok golongan tidak bermakna. Tetapi pencorak masa hadapan masyarakat kita. Tidaklah saya memandang Pemuda Pemudi sebagai muda hijau tiada isinya. Tetapi pada saya, kalian adalah permata yang berharga, saham buat dunia.

Maka saya lakarkan artikel ini, untuk sama-sama kita melihatnya.


Umur mudamu, ke mana engkau habiskan?

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: “Gunakanlah lima sebelum tibanya lima iaitu gunakan masa mudamu sebelum masa tuamu, masa sihatmu sebelum masa sakitmu, masa kayamu sebelum masa miskinmu, masa lapangmu sebelum masa sibukmu dan masa hidupmu sebelum masa matimu.” Hadith Riwayat Al-Hakim & Al-Baihaqi.

Maka Pemuda Pemudi yang saya kasihi, ke manakah sedang kita gunakan masa muda kita ini?

Apakah ke arah sesuatu yang membina masa hadapan kita, masa hadapan keluarga kita, masa hadapan agama kita, dan masa hadapan negara kita?

Atau ke arah yang merosakkan semua itu?

Adakah pernah kita mendengar firman Allah SWT berkenaan waktu?

“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” Surah Al-‘Asr ayat 1-3.

Maka pernahkah kita melihat wahai Pemuda Pemudi, apakah kita sedang berada di pihak yang rugi? Atau sedang untung dengan keimanan, amalan soleh dan berpesan-pesan ke arah kebenaran serta kesabaran?

Di manakah kita sekarang ini Pemuda dan Pemudi?



Kita Tidak Akan Sentiasa Muda.

Sedarilah bahawa masa muda ini akan berlalu. Akan pergi meninggalkan kita. Perginya pula tidak akan kembali. Tidaklah waktu akan merasa kasihan dengan penyesalan kita di hari tua, lantas berputar kembali memberikan peluang kepada kita. Tidak dan tidak.

Maka janganlah kita bazirkan peluang keemasan ini. Usia kita ini. Jangan kita sibukkan diri dengan percintaan yang sia-sia. Jangan pula kita habiskan dengan berfacebook perkara tidak bermakna. Jangan pula kita luangkan masa ke arah apa yang tidak bermanfaat kepada kita. Jangan sesekali melemparkan diri kepada kerosakan dengan rokok, ganja, rempit, dan apa-apa sahaja keburukan di sisi Allah SWT kita.

Tidakkah kita membaca firmanNya:

“Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan; dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” Surah Al-Baqarah ayat 195.

Maka ke manakah masa muda ini kita belanjakan? Jangan sesekali kita lemparkannya ke arah kerosakan.



Kita Adalah Mereka Di Masa Hadapan.

Perdana Menteri kita hari ini akan mati. Ulama’ kita hari ini akan mati. Begitulah juga pemimpin-pemimpin yang lainnya. Masa akan bergerak, waktu akan berlalu, dan sampailah hari kita. Kalaulah kita tidak menjadi pemimpin pun, adalah pasti kita akan menjadi rakyat kepada seseorang. Apakah kita ingin menjadi rakyat yang merosakkan? Dan jika kita menjadi pemimpin, apakah kita ingin menjadi pemimpin yang korup?

Kerana itu wahai Pemuda Pemudi, perubahan masa hadapan di tangan kita sebenarnya. Inilah dia kuasa yang diberikan Tuhan kepada kita. Maka mengapa kita bazirkan potensi ini dengan sibuk bercinta, berfacebook yang sia-sia, melakukan aktiviti yang tidak pula membawa manfaat kepada diri kita dan sesiapa!

Mengapa tidak kala usia masih hijau ini, kita mula mengisi diri dan hati kita. Kita mula membina peribadi kita. Kita mula merangka wawasan kita. Hingga nanti kalau sekadar menjadi rakyat marhein(biasa), maka kita akan menjadi rakyat yang baik buat negaranya, buat pemimpinnya. Kita akan menjadi rakyat yang kuat, yang gagah, yang intelek, untuk ummatnya. Apatah lagi bila kita menjadi pemimpin, kitalah yang akan melakukan anjakan paradigma, ke arah sesuatu yang lebih baik dan bagus buat semua.

Lebih penting, kitalah yang akan menggantikan Ibu Ayah hari ini, menjadi ketua keluarga kepada keluarga yang kita bina sendiri nanti. Apakah kita mahu menjadi ibu bapa yang tempang agama, yang tidak mampu membawa anak-anaknya ke syurga?

Maka mengapa tidak kita sibukkan diri di kala muda ini. Membina minda, membina hati, membina jiwa, membina peribadi. Tidakkah kita mahu memecahkan cycle keburukan di dunia ini, dan menerbitkan satu putaran kebaikan untuk generasi nanti?

Atau kita memilih untuk menjadi budak sistem, dan terus diperbudakkan hingga kiamat nanti?



Penutup: Engkau Terlalu Berharga Untuk Diperbudakkan. Bangkit!

Kita terlalu berharga untuk diperbudakkan sesiapa. Kita hanya layak menjadi ‘budak’ kepada Allah SWT semata-mata.

Maka bangkitlah wahai Pemuda Pemudi. Engkau suka apa? Suka menulis? Asah bakatmu itu biar boleh menyumbang untuk Agama dan perubahan negara. Engkau suka apa? Suka melukis? Asah bakatmu itu biar boleh menyumbang untuk Agama dan perubahan dunia. Engkau suka apa? Menyanyi? Suka bercakap? Suka membaca? Suka multimedia? Suka games? Maka asah bakatmu itu setajam mungkin, biar menjadi senjata-senjata agama yang menumbangkan kerosakan di atas dunia. Yang membawa perubahan, memimpin sekalian isi dunia ke syurgaNya.

Jangan biarkan diri kita terperangkap di dalam cycle rekaan sistem ini.

Jangan menjadi budak.

Kita punya kuasa sehebat tsunami.

Maka mengapa dibazirkan begitu sahaja disembelih sistem hari ini?

Lepaskan dirimu. Bina jiwa, bina minda, bina peribadi. Lahirkan identitimu yang berdasarkan perlembagaan Ilahi.

Kemudian bangkit, menjadi orang-orang tua yang lebih baik dari mereka hari ini.

Ayuh Pemuda Pemudi,

ini seruanku.

Walau berapa pun muda umurmu,ingat lah hari tua mu akan tetap menjelma

dengan lafaz bismillah sahut seruan ini, dan bergeraklah bermula kini!

Wednesday 28 March 2012

Pemuda: “Bakar” Jiwamu Dengan Semangat Iman!


Pernah mendengar nama Thariq bin Ziyad. Beliau adalah penakluk Sepanyol, bumi Andalusia. Kisah penaklukannya sungguh luarbiasa dan wajar kita jadikan suri teladan. Penaklukan Sepanyol diawali pada Isnin, 3 Mei 711 M. Saat itu Thariq bin Ziyad membawa sekitar 7,000 anggota pasukan menyeberangi selat yang membelah benua Afrika dan Eropah dengan armada kapal.

Setelah mendarat, Thariq mengumpulkan seluruh anggota pasukannya di sebuah bukit karang yang kini dikenali sebagai “Gibraltar” (Jabal Thariq = bukit Thariq). Dari bukit karang inilah Thariq bin Ziyad memerintahkan pasukannya membakar seluruh armada kapal yang baru saja mereka gunakan menyeberangi selat Afrika-Eropah. Lantas, sang panglima gagah berani ini menyampaikan ucapan luarbiasanya kepada seluruh anggota pasukannya;

“Wahai seluruh pasukan, ke mana lagi kalian akan lari? Di belakang kalian laut, dan di depan kalian adalah musuh. Demi Allah, satu-satunya milik kalian saat ini hanyalah kejujuran dan kesabaran. Musuh dengan jumlah besar dan persenjataan lengkap telah siap dihadapan kalian. Sementara senjata kalian adalah pedang. Perajuritku yang gagah berani, kalian punya pilihan, apakah kalian mahu lari sebagai pengecut dan tenggelam dilautan atau kalian memgikut jejakku. Mari kita mencapai kemenangan besar itu.”

Ya, Thariq bin Ziyad melakukan perbuatan yang luarbiasa. Membakar kapal. Cara itu dipilih Thariq bin Ziyad dengan maksud agar pasukannya tidak lari dari medan tempur. Pasukan yang hanya berjumlah tujuh ribu itu ternyata mampu mengalahkan seratus ribu pasukan Raja Roderic, raja terakhir Hispania yang berasal dari bangsa Visigoth, yang terkenal zalim dan sombong.

Apa yang boleh kita belajar dari kisah hebat Thariq bin Ziyad?

Pertama, miliki matlamat perjuangan. Keberangkatan Thariq dan angkatan tenteranya bukan untuk berehat-rehat atau bersantai-santai. Bukan untuk mencari harta kekayaan mahupun kemashyuran. Bukan! Tetapi Thariq membawa matlamat jelas, menakluk Sepanyol dan mengibarkan bendera Islam. Menumbangkan kerajaan zalim, dan menghancurkan taghut jahiliah yang menolak Allah sebagai Rabb dan Illah. Ini misi besar mereka. Matlamat mereka akan membawa kepada kejelasan hasil, samada menang atau syahid menempah syurga Allah. Begitulah seharusnya kita. Tetapkan matlamat perjuangan, miliki cita-cita mulia dan luarbiasa, tekad dan kuat untuk mengejar dan mencapai matlamat anda. Jangan jadi seperti layang-layang yang putus talinya. Fikirkan sejenak, untuk apa kehidupan kita ini, untuk apa kita perlu belajar dengan gigih, untuk apa kita perlu mengumpul wang ringgit dan kekayaan, untuk apa kita membina mahligai perkahwinan dan memiliki anak-anak. Untuk apa? Petakan matlamat kita pada setiap persoalan di atas dan bina matlamat yang jelas pada setiap fasa hayah kita, insyaAllah kehidupan kita akan lebih bermakna disisi Allah SWT.

Kedua, bila ingin memenangkan persaingan dalam kehidupan jangan pernah punya rencana untuk ’lari dari gelanggang’. Seberat apapun masalah, persaingan dan tentangan yang ada harus kita hadapi. Ingatlah pepatah yang mengatakan “pelaut ulung tidakkan lahir di laut yang tenang”. Orang-orang yang hebat tidakkan lahir dari sebuah situasi tanpa tentangan dan cubaan. Tariq mentarbiyah dengan “keras” para tenteranya agar jangan langsung berfikir untuk berundur sebelum syahid atau menang, lalu beliau membakar kapal perang mereka. Bukankah kapal itu aset? Tidak! Pada situasi genting itu, kapal itu bakal menjadi beban dan punca kepada kelalaian hati untuk lari dari medan juang. Dengan prinsip ini, kita hanya akan ada satu jalan sahaja, maju ke hadapan, tetap tegar dan istiqamah dalam perjuangan. Jangan berfikir untuk mengalah apatah lagi berundur.

Ketiga, jangan silau dengan kebendaan. Armada kapal yang dinaiki Thariq bin Ziyad dan pasukannya telah mampu menghantarkan mereka sampai di daratan Sepanyol. Misi itu, adalah misi yang luar biasa. Sebab ketika itu teknologi pengangkutan belumlah secanggih sekarang. Kapal-kapal itu adalah aset peperangan tetapi hangus dibakar. Thariq bin Ziyad tidak terlena mengkagumi kapal-kapal laut yang telah menyeberangkan mereka. Memiliki kapal sebesar itu belum tentu mampu memenangkan mereka, apatah lagi mereka harus berperang di daratan. Bahkan boleh jadi kapal itu akan menjadi beban kepada tenteranya, penarik jiwa untuk lari dari medan tempur. Cuba kita perhatikan kepada mahasiswa kita hari ini yang rata-rata mendapat pinjaman dan biasiswa pendidikan dari pelbagai institusi. Ada kalangan mereka yang menjadi lalai, terleka dan terpedaya dengan wang pinjaman yang mereka perolehi. Akibatnya mereka “enjoy” dan lupa diri. Wang pinjaman tadi yang sepatutnya boleh menjadi pembantu kepada kemenangan perjuangan dalam menuntut ilmu, telah bertukar menjadi beban dan penyebab kepada kelekaan. Manusia menjadi silau mata dan silau iman akibat pengaruh kebendaan.

Keempat, singkirkan “comfort zone”. Bila kapal tetap ada, mental bertempur pasukan tentu akan lemah. Boleh jadi sebahagian pasukan akan berfikir “Ah bila kita terdesak, kita boleh kembali ke negeri kita dengan kapal ini. Lari sahaja” Dunia berubah sangat cepat. Begitu juga hati manusia. Mudah berubah dan cepat berubah. Tentangan yang kita hadapi juga makin kompleks. Untuk “fight” dengan comfort zone ini, Thariq telah mencipta satu keadaan untuk membakar motivasi iman dan perjuangan para tenteranya dengan membakar kapal. Maka tidak ada lagi perasaan selesa untuk lari dalam diri setiap pasukannya, perasaan itu turut terbakar bersama kapal-kapal perang itu. Nah, buat kita semua, bila kita tidak ingin ditindas dengan cabaran zaman, khususnya cabaran keselesaan, maka segeralah ’Bakar “Kapal” Anda’. Lalu bertempur dan bersainglah sebagai sang satria yang tiada pilihan kedua dan ketiga, melainkan tetap maju kehadapan.

Kelima, pada diri kita sebenarnya ada semangat Tariq bin Ziyad. Keluarkan kekuatan dan potensi itu. Kerahkan semangat perjuangan untuk memenangi pertempuran kehidupan anda. Jangan sampai semangatmu ditikuskan dek hiburan melampau, santai tanpa batas dan kemewahan kehidupan. Maka lahirlah generasi yang lemah jiwa dan akalnya. Inilah yang sedang terjadi pada generasi muda. Potensi untuk maju dan berjaya pada diri mereka telah diselaputi lumpur dan kekotoran akibat kelalaian dan kelesuan diri sendiri. Semangat itu telah hancur bersama maksiat dan dosa. Hanya yang berjiwa satria seperti Tariq sahaja yang mampu memenangkan ummat. Maka “bakarlah” jiwamu dengan semangat perjuangan membela umatmu, agamamu dan negaramu.

Keenam, miliki sifat berani. Tariq membangkitkan sifat keberanian pada tenteranya. Hanya mereka yang benar-benar berani sahaja yang mampu berhadapan dengan seratus ribu musuh nyata. Sudah tentu yang paling berani pada saat itu adalah Thariq. Orang yang pengecut tidak akan berani membuat keputusan dan sukar untuk maju kehadapan. Kata Pak Hamka, “Setiap muslim mesti memiliki semangat berani di dalam dirinya, jika dia mahu mengembalikan maruah bangsa dan agamanya.”

Menurut Paul Getty, seorang jutawan dari Amerika Syarikat, untuk membina kejayaan seseorang perlu memiliki matlamat, dan kemudian berani berusaha untuk mendapatkan matlamat tersebut. Keberanian di sini bukan sekadar berani dari segi fizikal, tetapi keberanian dari segi pemikiran dan keberanian jiwa. Berani pemikiran ialah mereka yang berani membina sebuah matlamat dan perancangan besar yang pada pandangan orang biasa ianya mustahil. Berani pemikiran bererti ia mampu menghidupkan fikrah Islam sebagai fikrah hayah manusia yang lengkap dan syumul. Saat ini fikrah Islam dilihat sebagai sekunder, tidak menjadi pakaian pada setiap umatnya, terpisah di antara realiti dan teori, sedangkan Islam menjernihkan pemikiran manusia sehingga mengangkat martabat manusia setinggi-tingginya di sisi Allah.

Berani jiwa adalah mereka yang bersiap menempuh cabaran kerana tidak ada kejayaan yang datang menggolek tanpa usaha yang bersungguh. Mereka yang berjiwa penakut tidak akan sampai ke mana-mana, malah akan ketinggalan dan mungkin dipandang hina. Mereka yang takut untuk berjuang, lemah imannya. Manakala mereka yang berani memiliki kekuatan iman yang kukuh untuk terus maju ke hadapan mencapai kecemerlangan dan kejayaan. Berani jiwa dikuasai oleh iman yang mendalam. Iman itulah yang memandunya untuk menjadi berani. Iman itulah yang mendorong ia untuk berusaha sehabis batas. Iman itu jugalah yang menjadi momentum untuk dia berusaha yang terbaik. Bermakna kita perlu kepada proses mentarbiyah jiwa kita dengan proses keimanan. Thariq adalah produk tarbiyah keimanan pada zamannya. Nah pada zaman kita ini, menjadi tanggungjawab pada kita untuk membina kecerdasan iman yang tinggi agar jiwa kita kuat, kuat dengan IMAN.

Ketujuh, jadilah pemimpin yang mampu merubah, bukan sekadar merubah peta geografi daulah Islam, tetapi juga peta kehidupan. Hanya mereka yang mampu merubah peta kehidupannya daripada insan biasa kepada luarbiasa sahaja yang mampu memikul tugas da amanah yang berat. Seterusnya akan mampu mengubah peta dunia menjadi sinar kembali dengan cahaya kebenaran. Thariq memandu kita untuk membina jiwa kepimpinan yang tinggi dan tabah dalam perjuangan. Pemimpin perlu sentiasa ke hadapan, terkehadapan hubungannya dengan Allah, kehadapan amal ibadah dan akhlaknya. Kehadapan kualiti ilmu dan segala kemahiran insannya. Mampu memimpin dengan benar, bersemangat, berani, miliki perancangan rapi, tersusun, bersistematik dan kehadapan semangat jihad tanpa henti. Semuanya itu berpunca dari satu, terkehadapan keimanannya kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW. Janganlah menjadi pemimpin yang sekadar bijak berbicara dan menang membina bangunan dan kemajuan, tetapi hilang maruah iman. Hinggakan kelesuan iman sang pemimpin itu tidak mampu membawa orang yang dipimpinnya masuk ke syurga Allah SWT.

Pemuda! Tegakkanlah Islam Dalam Hati Kamu!



Rasul Allah saw. bersabda : ”Aku berpesan kepadamu supaya berbuat baik kepada golongan pemuda, sesungguhnya hati mereka paling lembut. Sesungguhnya Allah telah mengutusku membawa agama Hanif ini, lalu para pemuda bergabung denganku dan orang-orang tua menentangku” [Riwayat Bukhari].

Anak-Anak Muda Mewarnai Sejarah Islam

Itulah mengapa sejarah Islam diwarnai oleh para pemuda. Zaid bin Thabit pada usianya 13 tahun sudah menyibukkan diri dengan Islam, Zubayr Al-Awwam menjadi pahlawan dan panglima perang ketika usianya sangat muda, Usamah bin Zaid panglima tentera perang ketika berhadapan dengan tentera Rom di Syria ketika usianya 18 tahun, Al-Arqam bin Abi Al-Arqam sanggup menjadikan rumahnya sebagai tempat penyebaran Islam walaupun mengetahui cabaran yang akan mendatang, Mus’ab bin Umair seorang pemuda yang ditugaskan oleh Rasulullah untuk menjadi pendakwah dan mengislamkan setiap rumah di Madinah, Khalid Al-Walid seorang yang tangkas di medan perang serta mempunyai kemampuan startegi perangnya.Begitu juga, dengan sejarah sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW dakwah ini diwarnai oleh mereka dikalangan pemuda. Pernahkah kita mendengar kisah pemuda Ashabul Kahfi, pemuda di dalam kisah Ashabul Ukhdud, Zulkarnain, dan sebagainya. Mereka inilah pemuda-pemuda yang mempunyai jiwa yang berani dalam mempertahankan kebenaran dan tidak takut kepada celaan musuh Allah SWT.Tidak cukup dengan zaman tersebut, dunia Islam pernah dikejutkan dengan para pemuda yang teguh dan thabat dalam jalan dakwah. Sultan Muhammad Al-Fateh pada usianya 21 tahun sudah memimpin bala tentera dan membebaskan Kota Konstantinople, Saifuddin Qutuz pada usianya muda menentang tentera Tatar di Ain Jalut ketika itu umat Islam diambang kejatuhan kerajaan Abbasiah lalu bangkit seorang pemuda mempertahankan umat Islam di Mesir serta Al-Azhar As-Syarif sebagai kiblat ilmu umat Islam, Salahuddin Ayyubi juga pada usianya yang muda menentang Eropah yang ketika itu sudah menawan Jerusalem ditangan tentera Salib sehingga 2/3 dunia ini adalah milik Islam.Begitu juga, Revolusi Timur Tengah 2011 seperti Tunisia, Mesir, Libya, Syria, Yaman dan lain-lain semuanya tunduk ditangan pemuda.Ayuh anak-anak muda, sedarilah masa muda ini sangat bermakna. Manfaatkan usia muda untuk Islam serta ummah. Usah kita memisahkan dunia kita dengan dunia mereka yang yang sangat dahagakan kefahaman Islam. Mari kita bina generasi pewaris dikalangan pemuda.

Perancangan Musuh Islam Terhadap Anak Muda

Orang Yahudi dan musuh-musuh Islam tidak akan membiarkan pemuda-pemuda Islam dekat dengan ilmu dan iman, mereka akan memisahkan diri pemuda dengan jihad sehingga menyebabkan pemuda Islam menjadi lemah dan kaku. Protokol Yahudi ada menyebut:-
“ Kita mesti bekerja untuk merosakkan akhlak disetiap tempat. Dengan itu penguasaan kita akan mudah dicapai. Kita akan terus membentangkan teori hubungan seks sejelas-jelasnya supaya tidak ada suatu pun yang dianggap suci pada pandangan pemuda. Hasilnya ialah memuaskan hawa nafsu seks adalah matlamat mereka. Ketika itu akan runtuhlah akhlak mereka”.Begitu juga kata pemimpin penjajah Kristian : “Gelas arak dan pelacur amat berperanan dalam menghancurkan umat Muhammad lebih daripada apa yang dilakukan oleh seribu meriam. Oleh itu tenggelamkan mereka ke dalam cintakan kebendaan dan syahwat”.Perancangan musuh Islam tidak akan pernah sunyi, mereka akan bekerja siang dan malam untuk menghancurkan iman pemuda-pemuda Islam, kerana mereka percaya golongan pemudalah sebagai pemimpin sesebuah Negara pada masa akan datang.

Semangat Pemuda: HERO ataupun ZERO?

Tidak dapat disangkal lagi pada mana-mana zaman sekalipun bahawa golongan pemuda adalah agen perubahan yang paling penting dalam sesebuah negara. Pemuda adalah mereka yang mempunyai segala ciri yang diperlukan untuk sesuatu perubahan itu berlaku kerana mereka sedang berada pada titik kekuatan yang terletak di antara dua titik kelemahan (iaitu masa kecil dan masa tua). Disebabkan itulah kita sering mendengar pada sejarah-sejarah yang tertulis, bahawa pemuda lah yang menjadi tulang belakang terhadap sesuatu kebangkitan sesebuah bangsa.

Menyedari potensi luar biasa yang ada pada golongan muda ini, ramai pihak yang berlumba-lumba menawan hati mereka supaya kelak dapat menjadi agen pelaksana kepada sesuatu ideologi ataupun fahaman. Alhamdulillah, ramai di kalangan pihak tersebut berniat ikhlas dan jujur untuk membimbing pemuda-pemudi ini supaya mempunyai jati diri yang teguh serta matlamat perjuangan yang jelas. Yang paling mustahak ialah matlamat perjuangan tersebut adalah matlamat yang benar dan berpandukan Al-quran dan sunnah Rasulullah saw.

Namun demikian, terdapat juga beberapa pihak lain yang cuba mengambil kesempatan terhadap semangat pemuda yang berapi-api ini untuk dimanfaatkan demi kepentingan peribadi mahupun politik, bukan lagi kepentingan umat. Kita seharusnya mengakui bahawa di sebalik kelebihan-kelebihan yang terdapat dalam diri anak muda, terdapat suatu kelemahan yang perlu diberi perhatian iaitu kurangnya upaya untuk membuat keputusan dan penilaian dek kerana kurangnya pengalaman hidup. Justeru, kekurangan ini perlu ditampung oleh golongan yang lebih berpengalaman dalam memberi tunjuk ajar kepada golongan muda supaya segala usaha dan penat lelah mereka dalam berjuang tidak akan menjadi sia-sia dan tiada hala tuju.

Namun, perkara inilah yang saya lihat masih kurang berlaku di tanah air kita. Puak-puak yang mempunyai kepentingan politik dan peribadi ini seringkali mengambil kesempatan terhadap anak muda. Mereka akan menyogokkan pelbagai ideologi perjuangan yang hanya berorientasikan keuntungan terhadap kepentingan mereka tanpa memikirkan musibah yang bakal menimpa golongan anak muda itu sendiri.

Akhirnya, perjuangan yang anak muda sangkakan sebagai sebuah perjuangan yang benar rupa-rupanya tidak lebih daripada sebuah percaturan oleh pihak yang berkepentingan. Mereka ibarat bidak-bidak yang digerakkan di atas papan catur mengikut percaturan tangan-tangan yang berkepentingan.

Saya berasa sangat sedih dan kecewa dengan situasi yang melanda anak muda pada ketika ini. Di saat pohon-pohon tarbiyah sudah mula menguntumkan hasilnya, terdapat tangan-tangan zalim yang sudah tidak sabar memetiknya lalu akhirnya bunga itu mati kelayuan sebelum sempat umat menikmati kesan tarbiyah ini. Pemuda-pemudi yang bakal dilahirkan sebagai pendokong agama ini telah ramai yang tertipu dengan mainan politik di tanah air.

Saya tidak bermaksud yang seorang pemuda atau pemudi itu tidak perlu terlibat dalam politik malahan saya katakan itu adalah sebagai tanda pedulinya mereka kepada keadaan umat. Namun, apa yang saya kecewakan ialah ketika mana pemuda-pemudi ini berjuang bukan kerana kefahaman yang jelas terhadap matlamat perjuangan mereka tetapi lebih kepada sentimen-sentimen yang ditabur oleh sesetengah pihak.

Secara jujurnya, saya merasakan sudah tiba masanya untuk semua anak muda terutama di tanah air kita untuk kembali bertanya kepada diri sendiri, apakah sebenarnya yang sedang kalian perjuangkan? Cuba tanya dengan sejujur-jujurnya dengan membuang sebarang prasangka dan semangat fanatik kepartian yang melampau. Isu, ideologi atau fahaman apakah yang sedang kalian perjuangkan? Adakah ianya sebuah perjuangan benar yang diqiaskan daripada sirah perjuangan Nabi Muhammad saw ataupun hanya rekaan manusia-manusia yang menjadi tokoh di mata anda sedangkan perjuangan itu hanyalah untuk kepentingan mereka sahaja? Sekiranya anda mampu bertanya dengan sejujur-jujurnya, pastilah anda akan menemukan matlamat perjuangan yang sebenar dan bukannya menjadi kuda tunggangan terhadap perjuangan orang lain.

Akhir sekali, anak muda perlu tentukan dengan jelas matlamat perjuangan yang ingin dipegang kerana itulah yang akan menentukan samada anda menjadi HERO ataupun ZERO ketika hayat anda di dunia ini. Wallahu’alam.